Nada dan Suara

...
8:32 PTG

Jangan biarkan dirimu diperangkap dengan assobiyyah wahai adik-adikku!

Kebangkitan mahasiswa? Itulah yang diharapkan apabila melihat ribuan mahasiswa UiTM berada di jalanan melakukan bantahan berhubung cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim agar UiTM membuka kuota 10% kepada pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing untuk memasuki universiti tersebut.

UiTM pada masa ini telah dianggap sebagai salah satu ikon bangsa Melayu dan ramai pelajar Melayu yang berbangga kerana wujudnya satu-satunya universiti yang dianggap menjadi pertahanan akhir kepada hak pendidikan anak-anak bangsa Melayu. Untuk memastikan bahawa semangat Melayu itu terus hidup dan relevan, maka UiTM telah menganjurkan pelbagai program dan seminar yang bersifat kemelayuan. Jadi, dengan itu, semangat Melayu dapat terus dipupuk dan sentiasa diberi ‘nafas baru’ kepada kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM.


Manakala pemikiran dan ruhiyah keIslaman pula mendapat layanan yang berbeza. Para pelajar dilarang untuk melakukan perhimpunan untuk tujuan keIslaman bahkan untuk mengedar risalah Islam juga dilarang sama sekali. Semua ‘gerakan Islam’ dimansuhkan bahkan sebarang aktiviti usrah dan kegiatan-kegiatan surau di asrama sunyi sepi. Barang siapa yang dilihat cuba menaikkan semangat perjuangan Islam akan dicop sebagai radikal dan diberi amaran akan dikenakan tindakan tatatertib. Barangsiapa yang cuba berhimpun di surau-surau atau di bilik-bilik asrama untuk membincangkan perjuangan Islam, maka kemungkinan besar akan ditangkap. Maka pemikiran assabiyyah Melayu tumbuh subur dan budaya serta gaya hidup berasaskan kepada kebebasan/liberalisme berkembang biak di bumi UiTM.

Inilah antara ’kerosakan-kerosakan’ yang telah diusahakan dengan gigih oleh Naib Canselornya Prof Ibrahim Shah selama ini dan perarakan beribu-ribu mahasiswa UiTM itu dilihat hasil daripada ’usaha gigih’ tersebut. Bahkan ada di antara kita yang turut merasa teruja apabila melihat beribu-ribu mahasiswa berada di jalanan melakukan bantahan kerana sudah agak lama fenomena sedemikian tidak berlaku. Namun, adakah objektif mereka berkumpul itu benar-benar berlandaskan kepada pemikiran Islam yang benar, atau semata-mata atas dasar assabiyyah yang telah diharamkan oleh Islam? Daripada sepanduk dan panji-panji yang dikibarkan, amat jelas bahawa perhimpunan bantahan itu sebenarnya berlandaskan semangat assobiyah iaitu perjuangan mempertahankan hak pendidikan bangsa Melayu. Bangsa Cina dan India yang telah menjadi Muslim tidak sangat diambil peduli, apatah lagi kaum minoriti Islam lain yang ada di Malaysia, seperti orang Siam, orang Bangladesh, orang Burma dan lain-lain yang juga beragama Islam.

Para mahasiswa dan mahasiswi adalah golongan intelek yang dikurniakan oleh Allah otak yang cerdas dan sihat sepatutnya lebih bijaksana di dalam memilih bentuk perjuangan yang sebenar. Mengapakah pemikiran mereka perlu disempitkan dengan perjuangan assobiyyah? Mereka seharusnya membebaskan belenggu-belenggu pemikiran kufur assobiyyah ini agar dapat berfikir dengan lebih matang. Jika tidak, mereka akan mudah diperalatkan oleh pihak tertentu. Nasib ‘bangsa’ Melayu bukanlah satu perkara yang patut diperjuangkan, malah haram, dan haramnya teramat jelas dan ia adalah assobiyyah yang sangat-sangat dibenci oleh Rasulullah. Dengan akal yang cerdas dan sihat itulah, mereka sepatutnya meninggalkan assobiyyah dan mengambil Islam, sebagai satu-satunya wadah perjuangan. Mereka perlu ingat bahawa mereka pasti akan dihisab oleh Allah atas setiap langkah assobiyah atau langkah Islam yang mereka ambil. Pilihan di tangan mereka. Perjuangan assobiyyah telah lama menghancurkan dan menyekat kesatuan umat Islam. Disebabkan itulah ia mendapat larangan yang tegas daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assobiyyah, berperang kerana assobiyyah dan mati kerana assobiyyah [HR Abu Dawud]

Memperjuangkan assobiyyah Melayu yang haram ini tidak akan menjadikan bangsa Melayu lebih baik, malah akan terperosok nun lebih jauh ke dalam jurang kejahilan dan kemusnahan yang amat dahsyat.

Wahai adik-adikku semua!

Ingatlah akan ayat-ayat Allah, ketika mana kaum Muslimin dahulu dihasut syaithan dan sedikit tergelincir ke jurang assabiyyah, maka Allah swt terus menurunkan ayatNya,

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu berpetunjuk.” [TMQ Ali Imran (3):102-103]

Justeru, janganlah hendaknya adik-adikku semua tergelincir dengan hasutan syaithan, baik itu syaithan dari kalangan jin mahupun syaithan dari kalangan manusia yang senantiasa berusaha menyesatkan kalian dari jalan yang lurus. Berjuanglah untuk Islam, jangan berjuang untuk bangsa! Hanya dengan perjuangan kepada Islam sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari jurang neraka. Na’uzubillah min zalik. Sedikit persoalan yang saya minta semua pembaca blog ini menilai,jadi nilailah sebebasnya..

  1. Kenapa pihak polis atau FRU tidak kelihatan atau sememangnya mereka tidak berada di tempat perhimpunan. Sungguh menghairankan jika mereka tidak berada di tempat kejadian! Apakah SB-SB yang ada sudah ‘tidur’ semuanya sehingga tidak tahu satu perhimpunan sebesar itu akan diadakan.
  2. Kenapa pihak kerajaan ataupun pihak polis tidak memberi komen dari segi sama ada perhimpunan ini mendapat permit atau tidak? Selama ini, kalau ada demonstrasi aman sekalipun, pihak polis dan pihak kerajaan mesti sibuk menyatakan perhimpunan tidak ada permit. Sebaliknya, kenyataan Pak Lah yang menyatakan MB Selangor tidak ada kuasa menentukan kuota, nampaknya bersifat menyokong demonstrasi oleh pelajar UiTM tersebut.
  3. Atau apakah pelajar ini telah mendapat permit? Jika ya, alangkah efisiennya pihak polis Malaysia, di mana MB Selangor baru mengeluarkan cadangan pada hari Ahad, pada hari Selasa perhimpunan besar-besaran telah di adakan. Ini bermakna pihak polis hanya mengambil masa sehari sahaja (Isnin) untuk mengeluarkan permit. Tahniah untuk PDRM yang begitu efisien.
  4. Apakah salahnya MB Selangor yang hanya ‘mencadangkan’ agar kuota sebanyak 10% dibuka kepada bukan bumiputera, bukan MB ada kuasa pun untuk ubah kuota tersebut, dia hanya mencadangkan, itu pun untuk meningkatkan status UiTM juga. Ringkasnya, apakah sebuah ‘cadangan’ yang tak salah dan tak membawa kesan pun, perlu dijawab dengan demonstrasi besar-besaran.
  5. Media memetik kata-kata beberapa orang pelajar yang menggambarkan seolah-olah hak keistimewaan orang Melayu akan terhakis dan musnah dengan ‘cadangan’ pembukaan kuota 10% itu. Waraskah hujah ini?
  6. Apakah dalam negara demokrasi kufur ini yang mendewa-dewakan kebebasan berpendapat, kini, dengan hanya menyuarakan pandangan sekecil itu pun sudah dianggap salah dan mesti ‘diperangi’ habis-habisan?


Taasub Pada Allah

Solawat Atas Nabi

0 komen anda?:

Pengikut yang tidak taasub