Nada dan Suara

...
9:01 PG

"Sekurang-kurangnya dia masih hidup"

Tak tahu macam mana nak mulakan bicara, setiap kali jari mula mengetuk 'keyboard', mata mula berkaca.

'Let's put it this way'..."tiada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa beriman kepada Allah,niscaya dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."(maksud AtTaghaabun: 11).

Sebaik saja berita lanjutan 2 tahun itu keluar dalam Harakahdaily petang tadi, saya rasa seolah-olah ramai sangat yang turut "berkabung' dan menangisi keputusan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Tak daya saya nak melayan SMS dan panggilan telefon dari mereka yang ingin menyatakan kesedihan, di samping meminta saya terus tabah menghadapi keputusan yang zalim itu.

Sekadar mengimbas kembali, 10 dan 11 Jun, "hari-hari terakhir 6 tahun" saya rasakan hidup bagai di atas bara api. Setiap kali tengok kalendar, fikiran jadi amat tertekan. Kepala jadi sakit yang amat sangat dan ubat paling baik ialah ... tidor. Tapi tak boleh dilayan sangat.

Saya pergi GIANT membeli jus Peel Fresh Orange dan snack kegemaran saya - Vochele roasted almond .... tapi bila tiba dirumah, tak ada mood pula untuk menjamahnya.

Saya sibukkan diri dengan kerja-kerja kempen dan kebajikan keluarga tahanan yang masih bertimbun. Fikiran difokuskan terhadap program terdekat. Malu rasanya untuk menghadiri sidang media, dengan mata yang bengkak kesan tangisan yang berpanjangan.

Lega sedikit, ada cermin mata untuk menutup kekurangan itu.

Saya amat bersyukur pada Allah SWT, Tuhan yang memberi nyawa, yang masih mengizinkan nadi saya berdenyut, yang membolehkan saya menghirup udara pagi ketika terjaga dari tidur.

Di sebalik tekanan perasaan yang tinggi, saya berjaya mengharungi saat-saat sukar, sebelum menerima berita/keputusan yang amat berat itu... Alhamdulillah.

"Sekurang-kurangnya dia masih hidup dan boleh dilihat walaupun di sebalik kaca ...."

Ya .... itulah realitinya.

Saya reda dengan semua ketentuan-Nya. Sekurang-kurangnya, saya telah cuba melakukan yang terbaik untuk melihat dia bebas.

Bila-bila masa, sekiranya saya dipanggil Ilahi, saya tidak akan merasa terkilan/bersalah, kerana saya telah berusaha dengan pelbagai tindakan yang sewajarnya, untuk membantu mengembalikan nama baik dan hak peribadinya yang sedang dicabuli oleh mereka yang amat ego dan "sedang diberi kuasa oleh Allah" ketika ini.

Kemungkaran ISA terlalu besar dan terlalu zalim untuk dibiarkan begitu saja. Saya tidak kesal dengan keputusan ini (menangis tu biasalah bagi orang perempuan).. malahan semangat juang tetap membara di sanubari saya ....

Semoga Allah permudahkan semua perkara dan memang Allahlah penentu segalanya. - detikdaily.net _

berita sumber harakah daily

Pengikut yang tidak taasub