Assalamualaykum dan salam sejahtera para pembaca..
Umar Abdul Aziz (daripada Dinasti Umaiyah) yang kerap dianggap Khalifah Al-Rasyidin ke-5 (selepas Khalifah Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali), memerintah dua tahun enam bulan saja (99-101 Hijrah).
Menurut buku Sejarah, ketika pemerintahannya tiada orang layak menerima zakat. Ini menunjukkan negara penuh barakah. Demikian begitu berkesan dan adilnya beliau mentadbir negara.Tetapi selepas kematiannya, ada ulama besar bermimpi bertemu Umar Abdul Aziz dalam kepayahan yang amat sangat. Berpeluh-peluh dirinya. Lencun pakaiannya.
Dalam mimpinya itu, ulama berkenaan bertanya mengapa Umar berkenaan begitu. Umar menjawab dia sedang dihisab mengenai pemerintahannya. Katanya, tempoh dia memerintah singkat saja (dua tahun enam bulan) tetapi sudah dihisab 12 tahun lamanya. Itulah yang menyebabkan dia bermandi keringat.
Demikian kisah ini dibawakan oleh Tuan Guru dalam kuliah mingguannya di sebuah masjid di selatan tanah air baru-baru ini. Saya yang mendengar kuliah itu membuka telinga besar-besar apabila Tuan Guru menyatakan kehairanan mengapa ramai orang berebut-rebut menjadi pemimpin sedangkan pemimpinlah yang paling berat disoal di akhirat kelak.
Katanya, Khalifah Al-Rasyidin sungguh takut memegang jawatan itu. Tetapi disebabkan amanah daripada umat Islam, mereka menerimanya. Kata Tuan Guru, Umar Al-Khattab menjadi gementar dan takut jika ada keldai mati tidak terurus di tebing Sungai Furat di Iraq kerana sebagai pemerintah, perkara sekecil itu pun akan diletakkan di pundaknya. Sekali pun keldai itu di Iraq yang ribuan kilometer dari Madinah, Umar menjadi begitu bimbang.
Pemimpin beramanah menangis ketakutan apabila dipikulkan jawatan ke pundaknya. Pemimpin hari ini pula ketawa berdekah-dekah dan mengadakan jamuan dan pesta sempena kemenangannya menjadi wakil rakyat, ahli Parlimen dan menteri. Terbayanglah impian menjadi kenyataan untuk memiliki kuasa besar, pangkat besar, gelaran besar, rumah besar (mahligai) dan kereta besar tetapi isteri tetap mahu yang comel!
Tuan Guru berkata, semua golongan daif seperti anak yatim, ibu tunggal, orang miskin dan orang berhutang menjadi kewajipan pemimpin dan kerajaan untuk menanganinya. Berat, sungguh berat, kata Tuan Guru. Di akhirat kekal, golongan ini akan memegang pemimpin. Tiada peluang pemimpin hendak melarikan diri.
Pemimpin dan kerajaan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Pemerintah bukan boleh buat sesuka hati ke atas dana rakyat. Itu wang rakyat, bukan mereka punya harta. Setiap apa yang dikutip daripada rakyat (misalnya zakat) perlu diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya. Jika mereka tidak menerimanya, mereka akan tuntut di akhirat kelak. Masa itu hendak dibayar dengan apa, sebab dinar, dolar dan ringgit tidak ada lagi!
Dua tahun enam bulan saja Umar Abdul Aziz jadi pemerintah, begitu teruk dia melalui pemeriksaan. Berdasarkan ini, wahai pemimpin, Muslimin dan Muslimat (termasuk diri saya sendiri), bayangkanlah kepayahan yang akan kita hadapi nanti. Bagaimana kita mahu menjawab dakwaan orang-orang teraniaya.
Bagaimana pemimpin mahu menjawab dakwaan Nurin, Nurulhuda dan ramai lagi bahawa pembunuh berlegar-legar kerana hukum Islam tidak terlaksana?
Bagaimanapun, pemimpin tidak berada di puncak kuasa tanpa campur tangan rakyat. Ini zaman moden, bukan zaman feudal di mana seseorang menjadi pemimpin dengan kekuatan pedangnya. Pada zaman ini orang mengundi untuk memilih pemimpin.Jika imam masjid saja dipilih di kalangan ‘orang baik-baik’ sedangkan di luar sana penyamun dan perasuah dijadikan pemimpin, maka akan lahirkan umat yang baik semasa di masjid (atau ketika solat saja), tapi apabila keluar daripada lingkungan itu, mereka tidak lagi kenal batas dosa atau pahala.
Dikhuatiri itulah masyarakat yang kita lahirkan hari ini, buktinya anak-anak semakin kurang ajar, rasuah dan maksiat bermaharajalela manakala kebajikan tidak dipandang sebelah mata.
2 komen anda?:
Terlebih dulu hamba mohon maaf andai tersilap bicara......
Pemimpin dahulu tidak meminta untuk diberikan jawatan atau pangkat dunia.
Sekarang, kenapa tok guru-tok guru pun berebut untuk dapat jawatan (ADUN @ Ahli Parlimen)?
Bukankah seeloknya, tok guru2 ni membetulkan pemimpin2 kerajaan/ pemerintah andai mereka melakukan mungkar.
Bukankah amar maaruf, nahi mungkar tu kerja tok guru ? Suruh berbuat baik dan mencegah berbuat mungkar.
Hamba tak pernah mendengar lagi,ulama disuruh merebut kuasa dari pemerintah jika pemerintah tidak menerima teguran ulama atau pemerintah menolak dakwah dri ulama.
Adakah usaha dakwah dilakukan oleh tok guru dalam mendakwah pemerintah ?
Realiti sekarang, Tok guru dah terjun ke dalam kancah perebutan kuasa melalui pilihanraya. Bukankah tok guru telah terjun ke dalam suasana permusuhan ?
Dapatkah kita berdakwah di dalam suasana permusuhan seperti sekarang?
Terima kasih Jentayu..
kalau ada masa ,sila rujuk semula sejarah islam bagaimana dan kenapa Salahuddin al-ayyubi berperang untuk mengambil semula Palestin.
Dan saya juga tak pernah mendengar ulama disuruh membisu jikalau ada kemungkaran berlaku di dalam sesuatu negara atau pentadbiran.
Hakikatnya malaysia perlu di kembalikan semula ke arah perlembagaan islam yang sebenarnya selaras kehendak Allah s.w.t.
Catat Ulasan