Nada dan Suara

...
11:02 PTG

Hanya Firaun dan Namrud larang salahkan kerajaan - MalaysiaKini

Assalamualaikum dan salam sejahtera para bloggers dan pembaca.

         Saya beriman dengan ajaran bahawa kerajaan yang diistilahkan sebagai ulil amri hendaklah dipatuhi. 


Tetapi kepatuhan kepada ulil amri itu tidak mutlak. Kepatuhan yang mutlak ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Kepatuhan kepada ulil amri sepanjang ia patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Saya bukan menganjurkan kerajaan yang tidak patuh kepada Allah dan Rasul hendaklah diperangi. Tetapi saya hendak mengatakan kerajaan boleh ditegur dan boleh disalahkan jika diyakini dasar dan tindakannya tidak betul. 

Saidina Abu Bakar Siddiq ketika menerima perlantikan sebagai khalifah menuntut kepatuhan umat selagi dirinya berada pada jalan Allah dan Rasul. Tetapi jika beliau tidak mengikut jalan itu, maka beliau minta dibetulkan. 

Khalifah Umar al-Khatab membuat permintaan yang dari umat ketika menerima perlantikannya. Lalu bangun seorang pemuda menghunus pedang sambil mengingatkan Amirul Mukminin, pedangnya akan singgah ke lehernya jika beliau menyeleweng. Saidina Umar bersyukur kerana ada umat Islam yang sedia menegurnya. 

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, setiap orang adalah penggembala atau pemimpin. Dia akan ditanya tentang penggembalaannya atau pimpinannya. 

Allah akan bertanya pemimpin apa yang dibuatnya tentang pimpinannya. Bukan Allah saja yang akan bertanya kepadanya, tetapi setiap orang yang terasa dirinya dizalimi dan tidak mendapat layanan adil dari pemimpinnya berhak bertanya. 

Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin contoh. Tiada yang bersalahan dalam pimpinannya, tetapi bermacam-macam karenah Badawi ditujukan kepadanya. Semua yang dihadapinya itu dilayan mengikut kesesuaian. 

Sepanjang sejarah manusia, para nabi minta umatnya taat kepada Allah dan setia arahannya. Tetapi tidak pula nabi-nabi itu melarang umatnya bertanya dan memberikan pandangan. Apabila ada yang tidak patut dan pandangan kaum musyrikin yang tidak betul, maka nabi-nabi itu pergi kepada mereka membuat penjelasan. 

Yang tidak mahu ditegur dan melarang rakyat membuat komen tentang perjalanan raja dan pemerintahan ialah Namrud, Firaun dan orang-orang yang zalim sepertinya.
Dalam dunia memang ada yang membangkang melulu, menentang kerajaan melulu, mengecam orang itu dan orang ini dengan melulu. Tetapi semua kelemahan itu tidak menjadi hujah untuk menafikan keperluan bangkangan, kritisme, kebebasan menyatakan pandangan, membantah dan menegur. 

Tidak ada yang manusia dapat harapkan raja bermata di hati dan pemerintah yang zalim dan diktator. Tetapi orang bergelar profesor dan bertaraf mufti bukan dari jenis seperti itu. 

Profesor yang menyokong kerajaan boleh membela kerajaan dan programnya yang dikatakan baik dengan hujah akademik yang kuat. Memang dari dulu ada kerajaan yang baik dan adil. Maka kerja profesorlah untuk membetulkan apa yang dirasakan salah oleh setengah orang. 

Tetapi profesor kerana bersetuju akan ada pula profesor yang lain menghujah yang dikataannya betul itu. Macam mana pun profesor yang setuju dengan kerajaan itu tidaklah wajar melarang teguran kepada kerajaan. Bukan begitu cara profesor. 

Profesor mesti mengelak menjadi seorang ahli propaganda. Bukanlah sifat profesor menjadi propagandis. 

Demikian juga mufti. Mufti mesti berkata betul. Islam tidak melarang menegur dan menyatakan zalim kepada yang zalim. Dalam Islam dalam keadaan sudah seratus peratus betul, masih diperlukan teguran. Imam-imam muktabar tidak menggalakkan ulama bekerja dengan kerajaan. 

Justeru itu ada ulama sedia dipenjara dari menerima tawaran bekerja dengan raja atau khalifah. Akan sukar bagi ulama untuk menyatakan yang benar itu benar. 

Yang menaikkan harga minyak ialah kerajaan. Yang menaikkan harga barang ialah peniaga dan disetujui oleh kerajaan. Yang mengadakan tol dan menaikkan tol adalah kerajaan. Yang memberi lesen kepada tv boleh menyiarkan itu dan ini adalah kerajaan. 

Bagaimana rakyat boleh menyalahkan dirinya atas kepincangan itu? Maka apakah kejadian itu dibiarkan saja? Apakah tidak boleh kerajaan disalahkan dalam perkara seperti itu sebagai contoh? 

Luncai yang dikatakan lucu itu pun tetap mengatakan kepala raja yang botak itu botak. Masakan profesor dan mufti tidak setuju botak kepala raja itu botak.

2 komen anda?:

PAPA GOMO berkata...

SALAM SAUDARA...
PADA PANDANGAN SAYA MEMANG KERAJAAN ITU BANYAK SALAH DAN SILAPNYA. KITA SEBAGAI RAKYAT HARUS MENEGUR DALAM APA CARA SEKALIPUN.

EMMM TAPI ADAKAH PIHAK YANG MENEGUR ITU BERSIH???

BANYAK PERSOALAN YANG KITA TIDAK DAPAT MENJAWAPNYA....

SAMA-SAMA KITA BERDOA AGAR TANAH MELAYU INI AMAN HENDAKNYA.

Hamba Miskin berkata...

Wsalam gomo,

Bagi saya mudah. Kalau tuan sendiri katakan bahawa kerajaan itu banyak salah dan silapnya maka itu benar.

Tak salah kalau seseorang yang jahat menegur seseorang yang sedia jahat supaya kembali ke pangkal jalan.

Yang jadi salah,bila yang jahat bertambah jahat. Itu yang kita tak mahu.

Rasional saya mudah.

Saya sayangkan umno,kerana UMNO dahulunya (zaman hitam putih) sangat bersih. Jiwa saya masih jiwa melayu dan di beri penambahbaikan oleh Islam. Bila sebut tentang islam,Allah menyeru hambaNya masuk islam dan menjalani hukum hakamNya secara keseluruhan (kaffah). Bukannya separuh-separuh. Bayangkan tuan gomo,melayu ini sebenarnya tidak bermaruah langsung jika tiada islam menjaganya.
Bayangkan kita sendiri. Kita bersunat bukan kerana kita melayu tetapi ianya anjuran islam. Bolehkan kita katakan berkhatan ini ajaran melayu?

Islam mengangkat sesuatu bangsa itu berdasarkan Keimanan dan ketaqwaan mereka. Jika kita abaikan ini,Allah akan gantikan dengan kaum yang lain yang lebih beriman dari kita...

Pengikut yang tidak taasub