Bismillah ar Rohman ar Rohim
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jum’at, Maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
(QS: AL Jumu’ah:9)
Firman Allah swt di atas adalah dalil qoti'e dan tidak keraguan padanya mengenai perintah menunaikan solat jumaat. Sengaja saya mahu menulis berkenaan isu solat jumaat pada hari ini memandangkan masih ramai lagi para makmum yang masih kurang peka kepada kewajipan ini samada di ketikanya,sedang dan selepasnya.
Peristiwa yang berlaku hari ini sedikit sebanyak membuatkan saya tertanya-tanya apakah peranan para asatizah bergaji dalam memberi faham kepada para makmum berstatus murid yang bersolat dan menjadi sebahagian daripada makmum di qariah kami. Sebelumnya,untuk memahamkan situasi,pelajar-pelajar ini datang dari sekolah berdekatan ( berasrama,nama sekolah di rahsiakan ). Sudah acapkali di perhatikan ( bukan semua ) para pelajar sering mengenepikan adab-adab ketika khatib sedang berkhutbah. Hal ini pernah saya ajukan sebelumnya kepada salah seorang guru dengan harapan ada penambahbaikan adab dapat di lakukan. Saya bersangka baik,guru tersebut telah menyampaikan permasalahan ini dengan caranya tersendiri. Wallahu a'lam.
Ianya berlaku lagi. Terkadang mahu menempik. Hati masih menahan. Apa bezanya saya jika menempik tatkala khatib sedang berkhutbah,seumpama tiada beza antara berbual-bual ketika khatib berkhutbah dan saya hilang pahala akibat menegur. Cukup saya tahan di dalam hati. Usai solat,saya pegang beberapa pelajar itu dan beri nasihat tentang perlunya sebagai makmum untuk 'DIAM' ketika khatib berkhutbah. Mereka ketakutan. Sama ada akur atau takut. Jumaat selepasnya ianya tidak berlaku lagi.
'Dia bunyi lagi!!!'
Inilah skrip dari filem Almarhum P Ramlee, Bujang Lapok,mengambarkan sikap para makmum terpelajar ini. Saya berfikir,method daawah apa yang mahu di gunapakai untuk 'mendiamkan' mereka? Bukan permasalahan ini sahaja yang timbul. Para makmum terpelajar ini juga bersolat tidak memakai persalinan solat yang menandakan mereka adalah pelajar terpelajar yang sepatutnya faham arahan guru dan warden. Tidak usah menipu diri ini,saya adalah bekas pelajar berasrama. Saya faham peraturan asrama. Makmum terpelajar ini juga selalu memakai pakaian yang bertulisan meragukan. Wahai pemudaku,pakailah pakaian yang sesuai asal tidak menganggu kekhusyukan makmum yang lain.
Ada suatu ketika saya terlewat solat jumaat,saya hanya masbuk ketika rakaat ke 2. Saya nampak dengan jelas sekali mereka ini di dalam solat boleh berbual,pandang kiri dan kanan.Ya!! Ketika dalam rukun solat..ketika mengadap kiblat...ketika berhadapan dengan Allah swt!! Allahumma!! Selamatkanlah pemuda kami!
Kesabaran ada batas. Sampai ketikanya bila tiada perubahan berlaku,saya yakin akan membuat panggilan telefon ke sekolah berkenaan untuk memberi teguran. Masalah ini saya jangkakan tidak berlaku di qariah saya sahaja bahkan berlaku juga di tempat yang lain. Tidak semestinya solat jumaat bahkan solat fardhu yang lain. Di manakah silapnya? Ianya berlaku saban tahun.Jika masih tidak ada perubahan,saya tahu tindakan seterusnya maka jangan di salahkan saya lagi. Insya Allah,dalam keadaan begini saya akan usahakan dengan cara tersendiri untuk memikat hati mereka. Semoga Allah swt mengurniakan taufik dan hidayah kepada mereka. Aamin.
0 komen anda?:
Catat Ulasan